11 June 2020

BUAH TIN KAYA DENGAN ANTIOKSIDAN

Buah tin adalah antara buah-buahan paling tua yang dimakan manusia. Dikatakan buah yang dikenali dengan nama Fig oleh masyarakat dunia ini juga adalah buah kegemaran Cleopatra. Tidak hairalah jika buah tin mempunyai kebaikan bukan sahaja untuk kesihatan malah untuk kecantikan.

Nama saintifik buah tin adalah Ficus carica. Ia tergolong dalam keluarga Mulberi atau Moracee. Pokok tin boleh hidup sehingga 100 tahun. Pokok buah tin berasal dari Timur Tengah dan Asia Barat. Kini ia banyak ditanam di seluruh dunia.

Buah tin mempunyai rasa dan tekstur unik. Buahnya kenyal dan rasa manis. Gabungan kelembutan buah dan kerangupan biji menjadikan buah tin ini amat unik dan sedap dimakan. Buah tin yang telah dikeringkan boleh didapati sepanjang tahun manakala buah tin segar hanya boleh diperoleh dari bulan Jun sehingga September.

Terdapat lima jenis buah tin. Setiap jenis berbeza mengikut rasa dan kemanisan. Lima jenis buah tin adalah black mission, kadota, calimyrna, brown turkey dan Adriatic. Buah tin amat baik untuk tubuh. Ia kaya dengan serat dan banyak mineral yang diperlukan tubuh seperti magnesium, mangan, kalsium, tembaga, potassium, vitamin K dan B6.

Buah tin tidak kiralah yang masih segar atau telah dikeringkan amat kaya dengan antioksidan yang hebat.

KEBAIKAN BUAH TIN

Meningkatkan Kesihatan Pencernaan

Buah tin dikatakan mampu melegakan sembelit dan memperbaiki kesihatan pencernaan secara keseluruhan. Rendam dua hingga tiga biji buah tin dalam air semalaman. Minum air rendaman buah yang telah dicampur madu ini pada keesokan harinya.

Cara ini dikatakan mampu menghilangkan masalah sembelit. Buah tin baik untuk pencernaan kerana ia dipenuhi dengan serat pemakanan yang mampu membantu pergerakan usus sihat dan melegakan sembelit.

Serat dalam buah tin juga dikatakan mampu merawat cirit-birit dan melegakan sistem pencernaan secara keseluruhan.

Memperbaik Kesihatan Jantung

Buah tin dikatakan mampu mengurangkan tahap trigliserid dalam darah dan menyumbang untuk memperbaik kesihatan jantung. Trigliserid adalah partikel lemak dalam darah yang membawa keapda penyebab penyakit jantung.

Antioksidan dalam buah tin mampu membuang radikal bebas dalam tubuh yang akan menghalang arteri koronari dan menyebabkan penyakit jantung. Buah tin juga mengandungi fenol dan omega-3 dan asid berlemak omega-6 yang dikatakan mampu mengurangkan risiko penyakit jantung.

Merendahkan kolestrol

Buah tin mengandungi pectin, sejenis serat larut yang dikatakan mampu mengurangkan tahap kolestrol. Serat dalam buah tin dikatakan mampu membersihkan kolestrol berlebihan dalam sistem pencernaan dan membawanya ke usus untuk membuangnya.

Kandungan B6 yang terdapat di dalam buah tin dikatakan bertanggungjawab untuk menghasilkan serotonin. Serotonin merangsang mood dan merendahkan kolestrol.

Mencegah Kanser Usus Besar dan Kolon

Pengambilan buah tin dengan kerap dikatakan mampu merendahkan risiko kanser usus besar. Serat dalam buah tin dikatakan membantu membuang bahan buangan dalam tubuh dengan segera.

Biji yang banyak dalam buah tin mengandungi tahap tinggi mucin yang mengumpul bahan buangan dan mukus dalam usus besar dan membuangnya keluar.

Menyembuhkan Anemia

Memakan buah tin dikatakan mampu memperbaik tahap hemoglobin dalam darah. Ini adalah kerana buah tin mengandungi zat besi yang merupakan bahan penting hemoglobin.

Menguatkan Tulang

Buah tin mengandungi kalsium, potassium dan magnesium yang mampu membantu kesihatan tulang.

Kaya Antioksidan

Dikatakan antioksidan yang banyak di dalam buah tin mampu meneutralkan radikal bebas dalam tubuh dan menentang penyakit. Semakin masak buah tin semakin banyak kandungan antioksidan di dalamnya.

No comments:

Post a Comment